Saturday, 5 May 2012
Friday, 4 May 2012
Tuesday, 1 May 2012
Bahasa Arab Tingkatkan Pemahaman Al-Quran
KEPENTINGAN bahasa Arab dalam komunikasi dan kehidupan seharian semakin bertambah dari sehari ke sehari. Kepentingan dan keperluan mempelajari satu daripada bahasa yang mempunyai antara penutur ramai di dunia ini tidak lagi terbatas kepada pembelajaran di sekolah dan institusi pengajian agama semata-mata.
Bahasa ini juga bukan setakat medium untuk memahami sumber asas ilmu berkaitan Islam seperti fikah, tauhid, sejarah Islam dan sebagainya, malah menjadi satu bahasa kontemporari yang diperlukan dalam urusan seharian seperti komunikasi, teknologi, media massa, perdagangan dan perniagaan, pelancongan dan sebagainya. Menurut Dr Ramadan Abdul al-Tawwab (1994) dalam kitabnya Fiqh al-‘Arabiyyah, bahasa Arab adalah satu rumpun daripada susur galur bahasa Semitik yang dinisbahkan kepada seorang daripada anak Nabi Nuh AS dan orang pertama memperkenalkan istilah semitik ini ialah seorang orientalis bernama Schlozer.
Bahasa ini berkembang dan turut dipelajari pelbagai bangsa di serata dunia. Bahasa ini bukan saja menjadi bahasa ibunda bagi hampir 280 juta penduduk Arab di serata dunia (rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Arabic_language), bahkan bahasa ini menjadi bahasa penting bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia kerana kitab suci al-Quran al-Karim diturunkan dalam bahasa Arab.
Bahasa Arab mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap bangsa dan bahasa Melayu dengan perkataan dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab dianggarkan jumlahnya di antara 2000 hingga 3000 patah perkataan.
Huruf abjad Arab pula digunakan dalam penulisan Jawi walaupun didapati generasi kini khususnya generasi muda semakin kurang mahir dalam membaca dan menulis tulisan Jawi.
Dengan mempelajari dan memahami bahasa ini, kita dapat memahami dan mendalami pengertian dan pengajaran daripada al-Quran, hadis Rasulullah SAW dan mengkaji kitab muktabar ulama silam yang kebanyakannya ditulis dalam bahasa Arab bagi golongan yang mahir.
Bagi golongan yang mempunyai kemahiran sederhana dalam bahasa Arab, pengetahuan dalam bahasa ini dapat membantu mereka memahami maksud setiap bacaan dalam sembahyang, doa, wirid, zikir dan sebagainya.
Cuba kita tanya pada diri kita selama ini apakah kita faham maksud surah al-Fatihah yang wajib dibaca dalam ibadat solat seharian? Bagaimana pula dengan bacaan dalam solat lain seperti doa iftitah, doa qunut, bacaan dalam rukuk, sujud dan sebagainya?
Apakah kita akan berterusan menunaikan solat tanpa memahami maksudnya? Apakah kita memahami doa selepas solat yang dibaca oleh imam selama ini? Apakah cukup sekadar memahami bahasa Arab hanya membaca terjemahannya semata-mata? Tidak sama sekali kerana dengan mempelajari bahasa ini, kita akan dapat memahami makna dan maksud sesuatu perkataan, frasa dan ayat dengan lebih mendalam bukan setakat terjemahannya saja.
Kita akan dapat memahami sesuatu perkataan itu dari segi tatabahasa (nahu), binaan perkataan (sorof), makna (semantik) dan sebagainya yang menjadikan kita lebih menghayati maksud sesuatu bacaan dalam ibadat solat dan lain-lainnya.
Dari sini, kita akan dapat memahami hikmah pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dan terpeliharanya kitab suci ini daripada sebarang penyelewengan hingga ke akhir zaman.
Justeru, mempelajari asas bahasa Arab serta kaitannya dalam ibadat solat dan doa penting seharian akan dapat menambahkan lagi rasa khusyuk dan ‘fokus’ ketika membacanya kerana dapat membantu menghayati maksud bacaan berkenaan.
Secara tidak langsung dapat membantu kita ‘berkomunikasi’ dengan Allah SWT dengan lebih lancar dan jelas. Usaha kerajaan memperkenalkan program J-Qaf di sekolah mengintegrasikan pengajaran dan pembelajaran Jawi, al-Quran dan Fardu Ain suatu usaha murni dan harus diberi pujian.
Program ini juga membuka peluang pekerjaan kepada graduan bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab menjadi warga pendidik dan guru yang dapat menyumbang ke arah pembinaan generasi Muslim yang celik al-Quran, Jawi dan Fardu Ain melalui bahasa Arab.
Pemikir Islam terkenal, Hassan al-Banna pernah berpesan di dalam wasiat 10 yang berbunyi: “Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu satu-satunya syiar Islam.”
Oleh itu, marilah sama-sama kita mempelajari bahasa Arab supaya sekurang-kurangnya kita dapat memahami bacaan dan doa dalam ibadat seharian.
Peluang mempelajari bahasa ini termasuk masyarakat awam dan golongan profesional yang bekerja di pelbagai institusi pengajian tinggi seperti di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM), serta beberapa institusi pengajian tinggi yang lainnya yang sering terpapar dalam iklan di akhbar.
Peluang mempelajari bahasa ini boleh didapati di masjid dan surau, selain tuisyen persendirian yang dijalankan dari ke rumah ke rumah.
Peluang mempelajari bahasa suci bagi umat Islam ini amat banyak sekali di samping buku dan rujukan mempelajari bahasa Arab yang banyak terdapat di pasaran.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata dalam Ringkasan Iqtidha As-Sirat al-Mustaqim: “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kitab-Nya dengan bahasa Arab dan menjadikan Nabi-Nya penyampai Al-Quran dan As-Sunnah dari-Nya dengan bahasa Arab, menjadikan orang yang pertama kali masuk Islam berbicara dengan bahasa itu. Maka tidaklah agama difahami dengan baik dan benar kecuali dengan mempelajari bahasa Arab.
Penulis adalah pensyarah di Jabatan Kesusasteraan dan Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Dipetik daripada:
http://www.bharian.com.my/bharian/art ... emahamanal-Quran/Article/
9 April 2011
Monday, 30 April 2012
Doa Harian & Pengertian Doa
Di
dalam kesibukan menjalankan pekerjaan harian, kita kadangkala terasa
payah melakukan sesuatu. Bagaimanapun, kita selalu terlupa Allah subhana
wa ta'ala berada di samping kita dan telah berjanji akan memudahkan
hidup kita jika kita memintanya. Di dalam surah Al-Mukmin ayat 60, Allah
menjelaskan:
Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina!
Doa Harian
ini adalah himpunan doa-doa yang mudah tetapi penting di dalam
pekerjaan dan amalan seharian kita, sebagaimana yang pernah dilazimkan
oleh Nabi Muhammad s.a.w semasa hayat baginda.
Oleh
kerana semua bacaan doa dan zikir tersebut dalam Bahasa Arab, maka
disarankan kepada pembaca agar mempelajari bacaan teks doa atau zikir
daripada orang yang boleh atau memahami bahasa arab agar setiap kalimat
yang dibaca betul dari segi bacaan dan maknanya kerana apabila bacaan
berubah, maka ertinya juga akan berubah. Kalimat bahasa arab juga
adakalanya tidak dapat diterjemahkan ertinya dengan sepenuhnya kerana
Nabi Muhammad s.a.w telah diberi kelebihan oleh Allah dengan "Jawami Al-Kalim"
iaitu ucapan yang panjang dan mendalam. Adapun terjemahan setiap doa
dan zikir hanyalah sebagai bantuan untuk memahami erti setiap bacaan
agar menambahkan rasa khusyuk sewaktu membacanya.
Doa dalam bahasa arab, berasal dari kata ( دَعَا - يَدْعُو - دَعْوَة ) yang bererti, memanggil, memohon atau meminta. Orang yang berdoa ertinya orang yang mengajukan permohonan kepada Allah tentang kebaikan diri, keluarga dan harta benda,urusan dunia, agama dan akhirat. Meminta turunnya rahmat dan terhindar dari bencana.
Di dalam Al-Quran kata-kata doa banyak kita temukan dalam beberapa ayat dan surah, mempunyai beberapa erti yang berbeza kandungan dan makna dari ayat-ayatnya dengan perbezaan susunan kalimat-kalimatnya pula.
Doa dalam bahasa arab, berasal dari kata ( دَعَا - يَدْعُو - دَعْوَة ) yang bererti, memanggil, memohon atau meminta. Orang yang berdoa ertinya orang yang mengajukan permohonan kepada Allah tentang kebaikan diri, keluarga dan harta benda,urusan dunia, agama dan akhirat. Meminta turunnya rahmat dan terhindar dari bencana.
Di dalam Al-Quran kata-kata doa banyak kita temukan dalam beberapa ayat dan surah, mempunyai beberapa erti yang berbeza kandungan dan makna dari ayat-ayatnya dengan perbezaan susunan kalimat-kalimatnya pula.
Umpamanya:
a. Doa yang bererti ibadah atau menyembah. Sebagaimana firman Allah:
b. Doa yang bererti Istighathah (meminta tolong). Seperti Firman Allah:
Dan jangan kamu berdoa (menyembah) selain Allah, sesuatu yang tidak memberi manfaat dan mudharat kepadamu...
(Surah Yunus ayat 106)
...dan minta tolonglah kepada saksi-saksimu (sekutu-sekutumu) selain Allah jika kamu orang-orang yang benar.
(Surah Al-Baqarah ayat 23)
d. Doa yang bererti An-Nidaa' (panggilan). Seperti Firman Allah:
e. Doa yang bererti Ath-Thana' (pujian). Seperti Firman Allah:
f. Doa yang bererti Al-Qaul (ucapan). Seperti Firman Allah:
Ucapan mereka di dalamnya ialah: Maha Suci Ya Allah...(Surah Yunus ayat 10)
Tuesday, 3 April 2012
Al-Quran
Al-Quran atau Quran (bahasa Arab: القرآن al-Qur'ān) ialah kitab suci bagi umat Islam. Menurut ajaran Islam, al-Quran ialah wahyu yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril yang sampai ke zaman sekarang secara mutawatir. Perihal diturunkan Al-Quran mempunyai kaitan rapat dengan Lailatul Qadar. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.
Dalam salah satu ayat yang terdapat di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan adz-Dzikr (Al-Qur’an), dan Kamilah yang akan menjaganya". (AL Hijr 15:9)
Lafaz al-Quran dari segi bahasa adalah bacaan atau himpunan huruf dan kalimah. Ini berdasarkan firman Allah:
Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (surah al-Qiyamah, 75:17-18)
Manakala dari segi istilah pula, al-Quran ialah kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril dalam bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawatir dan membaca setiap hurufnya adalah ibadah, bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Naas.
Monday, 5 March 2012
Solat & Khusyuk
Antara
ibadah yang penting yang wajib dilakukan ialah solat. Ia amat penting
sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun solat tidak boleh
ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi
meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang
meninggalkannya dia meruntuhkan agama.”
Dalam
surah Al-Mukminun ayat 1, 2 dan 9 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya
telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk
dalam solat mereka…. Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”
Justeru,
untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali
terutamanya solat-solat fardu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua
perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya memastikan agar
solat dilaksanakan secara berterusan mengikut cara dan jadual waktu yang
telah ditetapkan.
Kesesatan Kerana Memperkecilkan Solat
Golongan
yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat. Dalam surah
Maryam ayat 59 Allah berfirman, “Maka datanglah selepas mereka pengganti
(yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu,
maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” Berhubung dengan ayat ini,
sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Maksud ‘mensia-siakan solat’
bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari
waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan
sahabat Abdullah ibn Abbas. Beliau berkata, “Mereka melaksanakan solat
zuhur dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib, solat maghrib
dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh
dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati
dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam
sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan
yang teramat jijik..” Hal ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh
Said Hawa.
Justeru
melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan
sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut
Imam Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah ibn Masud pernah bertanya
kepada nabi, “Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab,
“Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian
apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.”
Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana
agama Allah.”
Apakah Maksud Khusyuk?
Solat
tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi,
pada suatu ketika nabi ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya
ketika solat maka baginda pun bersabda, “Jika khusyuk hati lelaki ini
akan tenanglah anggota badannya.” Berkata Imam Al-Alusi, “Khusyuk ialah
merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan.”
Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn Abbas berkata,
“Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” Sahabat Ali
bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Imam Hasan
Al-Basri pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan
kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta
menenangkan anggota badan.” Pandangan yang agak merangkumi tentang
khusyuk ialah pandangan sahabat Abu Darda’. Beliau berkata, “(Khusyuk)
ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan,
kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak
berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.” Kesemua
pendapat ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Justeru
khusyuk di dalam solat adalah penting. Namun khusyuk perlu diamalkan
tidak hanya di dalam solat. Ia perlu diaplikasikan dalam setiap ibadah
yang kita lakukan agar kesannya lebih positif. Di akhir zaman khusyuk
akan lenyap dari hati-hati manusia digantikan dengan kealpaan dan
kelalaian. Mengikut Imam Al-Hakim, sahabat Ubadah bin Samit berkata,
“Tidak berapa lama lagi akan sampai satu zaman apabila kamu memasuki
masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki yang khusyuk.” Ibn Abi
Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, sahabat Huzaifah bin Yaman
berkata, “Perkara pertama yang akan luput dari agamamu ialah khusyuk dan
akhirnya yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan
terungkai satu demi satu.”
Cara Untuk Khusyuk
Asas
kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Justeru, untuk khusyuk penekanan
perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang
berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan
ada enam.. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali dalam Ihya
Ulumuddin, ialah, “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai
kehebatan, harap dan malu.” Kehadiran hati bermaksud, hati tidak
menerawang memikirkan perkara yang lain daripada solat. Pemahaman
bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat.
Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah
hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap
bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat
pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah
yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.
Untuk
membantu kekhusyukan hati, beberapa pengaruh luaran perlu dikawal dan
dijaga. Antaranya, jika seseorang berasa lapar hendaklah beliau menjamah
makanan terlebih dahulu sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Apabila datang makanan malam
dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah dengan mengambil
makanan malam terlebih dahulu.” Demikian jugalah kiasannya dengan
membuang air besar dan kecil dan yang seumpamanya.
Dalam
kitab Ihya Ulumuddin dalam bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, Imam
Al-Ghazali berkata, “Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi
kesan kepada pendengaran dan penglihatan sekali gus mengganggu
kekhusyukan seseorang. Ubatnya ialah memisahkan dan menjauhkan diri dari
kesemua pengaruh itu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak
melaksanakan solat di tempat yang dipenuhi ukiran kesenian dan tidak
melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai celupan warna yang
menarik (serta gambar-gambar). Ketika hendak bertakbiratul ihram
hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu
jiwanya, dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat dan
dibayangkan kepadanya keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah
pada suatu hari nanti… Walau bagaimanapun hawa nafsu memang susah hendak
dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya.
Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh
mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat. Justeru mujahadah
hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. Cita-cita
duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh
diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa
banyak air yang dapat dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan
jumlah yang sama daripada cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul
menjadi satu. ”
Benarlah
Imam Al-Hasan ketika beliau berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan
hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada
seksaan Allah”.
Faedah-Faedah Solat
Solat
yang dilakukan akan menggugurkan dosa seseorang. Imam Muslim
meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat yang lima menghilangkan dosa
sebagaimana air menghilangkan daki.” Dalam riwayat yang lain oleh Imam
Muslim, nabi bersabda, “Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara
satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”
Solat
membina jati diri seseorang. Imam Abu Al-Aliyah berkata, “Solat
mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam
sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali.
Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah.
Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan
mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya
melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”. Hal ini
disebutkan di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Hamka.
Di
samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga memampukannya
meninggalkan kekejian dan kemungkaran. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45,
Allah berfirman, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari
perbuatan keji dan mungkar.” Apabila peribadi unggul seperti ini dapat
dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi aman dan
selamat.
Solat
mendidik umat Islam menjadi pengurus masa yang baik. Dalam surah
An-Nisak ayat 103, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat adalah satu
ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.” Oleh
kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat
perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar
waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan
dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada seluruh
kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa.
Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.
Solat
juga membentuk disiplin. Di antara perkara yang wajib dilaksanakan
sebelum bersolat ialah mengambil wuduk, dan wuduk tidak dianggap sah
melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulu didahulukan dan
yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib
dipelihara.. Jika seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya
dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan
takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti
ini mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali
gus menjadikannya efisien dalam setiap pekerjaan.
Solat
mendidik umat Islam agar mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika
melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih
dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi
bersabda, “Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih
tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah
dari kalangan yang lebih memahami sunah..” Makmum yang berada di
belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam
terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, untuk membantu imam,
Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah
dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud
dan Tirmizi, nabi bersabda, “Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh
bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian
mereka yang seumpamanya..”
Tekanan
jiwa atau stres sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang
mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan
zikir jika dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati. Dalam surah
Taha ayat 14 Allah berfirman, “Dan tegakkanlah solat untuk berzikir
kepadaku.” Oleh kerana solat benar-benar mendamaikan hati nabi pernah
berkata, “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan
solat.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Justeru di sisi nabi,
solat diumpamakan seperti kekasih hati. Dalam sebuah riwayat oleh Imam
An-Nasai, nabi bersabda, “Dan dijadikan cahaya mataku pada solat.”
Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin
http://danialzainalabidin.com
Dr. Danial Zainal Abidin
http://danialzainalabidin.com
Friday, 17 February 2012
Tayammum
PENGERTIAN
TAYAMMUM
- Tayammum ialah menyampaikan atau menyapu debu tanah ke muka dan kedua-dua tangan dengan syarat yang tertentu. Tayammum dilakukan bagi menggantikan wudhu’ atau mandi wajib (junub, haidh dan nifas), ketika ketiadaan air atau uzur menggunakan air, dan ia adalah suatu rukhsah atau keringanan yang diberikan oleh syara‘ kepada manusia.
- ·Disyari‘atkan tayammum berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala:
|
Maksudnya:
“Dan jika kamu junub (berhadath besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih.”
(Surah Al-Ma’idah, 5:6)
- Semua ibadah atau amalan ta‘at yang perlu kepada bersuci (taharah) seperti sembahyang, menyentuh mushaf, membaca Al-Qur’an, sujud tilawah dan beri‘tikaf di dalam masjid adalah boleh bersuci dengan tayammum sebagai ganti wudhu’ dan mandi, kerana amalan yang diharuskan taharah dengan air adalah diharuskan juga dengan tayammum.
SEBAB YANG MEMBOLEHKAN TAYAMMUM
1. Ketiadaan air yang mencukupi untuk wudhu’ atau mandi.
2. Air yang ada hanya mencukupi untuk keperluan minuman binatang yang dihalalkan, sekalipun keperluan itu pada masa akan datang.
3. Sakit yang jika terkena air boleh mengancam nyawa atau anggota badan atau melambatkan sembuh.
SYARAT TAYAMMUM
1. Menggunakan debu tanah yang suci, tidak musta‘mal, tidak bercampur benda lain.
2. Menyapu muka dan dua tangan dengan dua kali pindah.
3. Hilang najis terlebih dahulu.
4. Masuk waktu sembahyang.
5. Bertayammum bagi setiap ibadat fardhu.
6. Ada keuzuran seperti sakit atau ketiadaan air.
ANGGOTA TAYAMMUM
1. Muka.
2. Dua belah tangan hingga siku.
RUKUN TAYAMMUM
1. Berniat ketika menyapu debu tanah ke muka. Niat tayammum adalah seperti berikut:
Maksudnya:
“Sahaja aku bertayammum bagi mengharuskan solat kerana Allah Ta`ala.”
2. Menyapu muka.
3. Menyapu kedua-dua belah tangan.
4. Tertib.
SUNAT TAYAMMUM
1. Membaca basmalah iaitu lafaz
2. Mendahulukan menyapu tangan kanan dari yang kiri dan memulakan bahagian atas dari bahagian bawah ketika menyapu muka.
3. Berturut-turut di antara menyapu muka dan menyapu tangan.
PERKARA YANG MEMBATALKAN TAYAMMUM
1. Berlaku sesuatu daripada perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.
2. Melihat air atau mendapat air sekiranya bertayammum kerana ketiadaan air.
3. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.
Subscribe to:
Posts (Atom)