Friday 17 February 2012

Tayammum

PENGERTIAN TAYAMMUM
  • Tayammum ialah menyampaikan atau menyapu debu tanah ke muka dan kedua-dua tangan dengan syarat yang tertentu. Tayammum dilakukan bagi menggantikan wudhu’ atau mandi wajib (junub, haidh dan nifas), ketika ketiadaan air atau uzur menggunakan air, dan ia adalah suatu rukhsah atau keringanan yang diberikan oleh syara‘ kepada manusia.
  • ·Disyari‘atkan tayammum berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala:

005.006 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ



Maksudnya:
“Dan jika kamu junub (berhadath besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih.”
(Surah Al-Ma’idah, 5:6)
  • Semua ibadah atau amalan ta‘at yang perlu kepada bersuci (taharah) seperti sembahyang, menyentuh mushaf, membaca Al-Qur’an, sujud tilawah dan beri‘tikaf di dalam masjid adalah boleh bersuci dengan tayammum sebagai ganti wudhu’ dan mandi, kerana amalan yang diharuskan taharah dengan air adalah diharuskan juga dengan tayammum.

SEBAB YANG MEMBOLEHKAN TAYAMMUM

1. Ketiadaan air yang mencukupi untuk wudhu’ atau mandi.
2. Air yang ada hanya mencukupi untuk keperluan minuman binatang yang dihalalkan, sekalipun keperluan itu pada masa akan datang.
3. Sakit yang jika terkena air boleh mengancam nyawa atau anggota badan atau melambatkan sembuh.
SYARAT TAYAMMUM
1. Menggunakan debu tanah yang suci, tidak musta‘mal, tidak bercampur benda lain.
2. Menyapu muka dan dua tangan dengan dua kali pindah.
3. Hilang najis terlebih dahulu.
4. Masuk waktu sembahyang.
5. Bertayammum bagi setiap ibadat fardhu.
6. Ada keuzuran seperti sakit atau ketiadaan air.

ANGGOTA TAYAMMUM

1. Muka.
2. Dua belah tangan hingga siku.

RUKUN TAYAMMUM

1. Berniat ketika menyapu debu tanah ke muka. Niat tayammum adalah seperti berikut:


Maksudnya:
“Sahaja aku bertayammum bagi mengharuskan solat kerana Allah Ta`ala.”

2. Menyapu muka.
3. Menyapu kedua-dua belah tangan.
4. Tertib.

SUNAT TAYAMMUM

1. Membaca basmalah iaitu lafaz
2. Mendahulukan menyapu tangan kanan dari yang kiri dan memulakan bahagian atas dari bahagian bawah ketika menyapu muka.
3. Berturut-turut di antara menyapu muka dan menyapu tangan.

PERKARA YANG MEMBATALKAN TAYAMMUM

1. Berlaku sesuatu daripada perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.
2. Melihat air atau mendapat air sekiranya bertayammum kerana ketiadaan air.
3. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.

Wednesday 8 February 2012

Jawatankuasa Khas Ditubuh Selaras Kurikulum j-QAF Dan KAFA

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyelaras kurikulum pengajian Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) bagi mengelak pertindihan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut mengumumkan bahawa calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kini diterima mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berikutan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengiktiraf peperiksaan itu setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Jawatankuasa yang dibentuk diberi tanggungjawab untuk meneliti antara lain (soal) mengelak pertindihan termasuk berkaitan kurikulum pembelajaran pengajian Islam yang sedang dilaksanakan sekarang dan apa yang terkandung di bawah KAFA.

"Ini termasuk soal tenaga pengajar dan kelayakan guru yang mengajar, soal pensijilan dan akreditasi, selain meneliti soal infrastruktur, kelengkapan pembelajaran dan pengajaran pendidikan Islam sama ada di sekolah kebangsaan atau di KAFA sendiri.

"Di samping itu, (jawatankuasa akan mencari kaedah) bagaimana kita dapat membantu dalam soal meningkatkan mutu pembelajaran pendidikan Islam di sekolah-sekolah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai hala tuju pengajian aliran agama di sini Selasa.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Muhyiddin berkata mesyuarat hari ini tidak membincangkan soal untuk menyelaras pengajian agama di sekolah yang di bawah tanggungjawab kerajaan negeri termasuk sekolah-sekolah agama yang didirikan secara persendirian.

Beliau berkata mesyuarat turut memutuskan agar program j-QAF terus dimantapkan dan bukan setakat di peringkat sekolah rendah tetapi ia harus dipanjangkan ke peringkat sekolah menengah iaitu sehingga ke tingkatan lima.

Katanya jawatankuasa yang akan ditubuhkan itu juga akan mengkaji dan meneliti keperluan untuk menyediakan pembelajaran agama Islam sepanjang hayat.

"Perkara ini akan diteliti bagi memberi peluang kepada masyarakat Islam dewasa yang tidak berkesempatan mengikuti pengajian Islam secara formal untuk mempelajari Islam secara mendalam," katanya.

Muhyiddin juga berkata mesyuarat mendengar taklimat daripada Pengerusi Lembaga Pendidikan Islam (LEPAI) Tan Sri Yusof Noor yang akan berperanan lebih utama pada masa akan datang bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran Islam lebih mantap.

Khaled ketika ditemui pemberita berkata keputusan yang dibuat oleh JPA baru-baru ini memberi pengiktirafan kepada calon yang mempunyai kelayakan STAM untuk diterima masuk ke IPTA.

Katanya keputusan itu membabitkan kemasukan yang akan datang dan secara menyeluruh berbanding sebelum ini yang hanya diterima oleh sebahagian universiti.

"Dulu ada masalah universiti tertentu saja yang terima (tetapi) mulai sekarang semua universiti yang ada kursus pengajian Islam atau gandingan, akan terima.

"Sekarang memang ada sebahagian universiti yang dah terima, yang jadi masalah sebelum ini ialah universiti dan JPA," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday 1 February 2012

Mutiara Kata Hukamak

Jika dunia ini persinggahan,
mengapa tidak kita perbanyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan?
Kerana kita hanya ada satu persinggahan sahaja.

Jika pemberian orang lain tidak di hargai,
untuk apa pula kita mengharapkan orang lain menjaga hati kita?
Orang memberi kita merasa,
berbudi bahasalah sesama insan.

Ada 4 tanda tanda orang berakal.
Cinta pada ilmu,
tidak berubah mukanya waktu menerima umpat dan puji,
bagus jawapannya
dan banyak benarnya.
Jelingan tidak sama ertinya,
jelingan pemimpin mempasti,
jelingan anak takut dimarahi,
jelingan bapa mengawasi,
jelingan musuh sakit hati,
jelingan perempuan jatuh hati.