Antara
ibadah yang penting yang wajib dilakukan ialah solat. Ia amat penting
sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun solat tidak boleh
ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi
meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang
meninggalkannya dia meruntuhkan agama.”
Dalam
surah Al-Mukminun ayat 1, 2 dan 9 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya
telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk
dalam solat mereka…. Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”
Justeru,
untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali
terutamanya solat-solat fardu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua
perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya memastikan agar
solat dilaksanakan secara berterusan mengikut cara dan jadual waktu yang
telah ditetapkan.
Kesesatan Kerana Memperkecilkan Solat
Golongan
yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat. Dalam surah
Maryam ayat 59 Allah berfirman, “Maka datanglah selepas mereka pengganti
(yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu,
maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” Berhubung dengan ayat ini,
sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Maksud ‘mensia-siakan solat’
bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari
waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan
sahabat Abdullah ibn Abbas. Beliau berkata, “Mereka melaksanakan solat
zuhur dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib, solat maghrib
dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh
dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati
dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam
sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan
yang teramat jijik..” Hal ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh
Said Hawa.
Justeru
melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan
sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut
Imam Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah ibn Masud pernah bertanya
kepada nabi, “Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab,
“Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian
apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.”
Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana
agama Allah.”
Apakah Maksud Khusyuk?
Solat
tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi,
pada suatu ketika nabi ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya
ketika solat maka baginda pun bersabda, “Jika khusyuk hati lelaki ini
akan tenanglah anggota badannya.” Berkata Imam Al-Alusi, “Khusyuk ialah
merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan.”
Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn Abbas berkata,
“Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” Sahabat Ali
bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Imam Hasan
Al-Basri pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan
kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta
menenangkan anggota badan.” Pandangan yang agak merangkumi tentang
khusyuk ialah pandangan sahabat Abu Darda’. Beliau berkata, “(Khusyuk)
ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan,
kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak
berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.” Kesemua
pendapat ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Justeru
khusyuk di dalam solat adalah penting. Namun khusyuk perlu diamalkan
tidak hanya di dalam solat. Ia perlu diaplikasikan dalam setiap ibadah
yang kita lakukan agar kesannya lebih positif. Di akhir zaman khusyuk
akan lenyap dari hati-hati manusia digantikan dengan kealpaan dan
kelalaian. Mengikut Imam Al-Hakim, sahabat Ubadah bin Samit berkata,
“Tidak berapa lama lagi akan sampai satu zaman apabila kamu memasuki
masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki yang khusyuk.” Ibn Abi
Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, sahabat Huzaifah bin Yaman
berkata, “Perkara pertama yang akan luput dari agamamu ialah khusyuk dan
akhirnya yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan
terungkai satu demi satu.”
Cara Untuk Khusyuk
Asas
kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Justeru, untuk khusyuk penekanan
perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang
berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan
ada enam.. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali dalam Ihya
Ulumuddin, ialah, “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai
kehebatan, harap dan malu.” Kehadiran hati bermaksud, hati tidak
menerawang memikirkan perkara yang lain daripada solat. Pemahaman
bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat.
Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah
hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap
bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat
pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah
yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.
Untuk
membantu kekhusyukan hati, beberapa pengaruh luaran perlu dikawal dan
dijaga. Antaranya, jika seseorang berasa lapar hendaklah beliau menjamah
makanan terlebih dahulu sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Apabila datang makanan malam
dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah dengan mengambil
makanan malam terlebih dahulu.” Demikian jugalah kiasannya dengan
membuang air besar dan kecil dan yang seumpamanya.
Dalam
kitab Ihya Ulumuddin dalam bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, Imam
Al-Ghazali berkata, “Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi
kesan kepada pendengaran dan penglihatan sekali gus mengganggu
kekhusyukan seseorang. Ubatnya ialah memisahkan dan menjauhkan diri dari
kesemua pengaruh itu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak
melaksanakan solat di tempat yang dipenuhi ukiran kesenian dan tidak
melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai celupan warna yang
menarik (serta gambar-gambar). Ketika hendak bertakbiratul ihram
hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu
jiwanya, dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat dan
dibayangkan kepadanya keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah
pada suatu hari nanti… Walau bagaimanapun hawa nafsu memang susah hendak
dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya.
Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh
mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat. Justeru mujahadah
hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. Cita-cita
duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh
diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa
banyak air yang dapat dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan
jumlah yang sama daripada cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul
menjadi satu. ”
Benarlah
Imam Al-Hasan ketika beliau berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan
hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada
seksaan Allah”.
Faedah-Faedah Solat
Solat
yang dilakukan akan menggugurkan dosa seseorang. Imam Muslim
meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat yang lima menghilangkan dosa
sebagaimana air menghilangkan daki.” Dalam riwayat yang lain oleh Imam
Muslim, nabi bersabda, “Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara
satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”
Solat
membina jati diri seseorang. Imam Abu Al-Aliyah berkata, “Solat
mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam
sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali.
Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah.
Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan
mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya
melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”. Hal ini
disebutkan di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Hamka.
Di
samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga memampukannya
meninggalkan kekejian dan kemungkaran. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45,
Allah berfirman, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari
perbuatan keji dan mungkar.” Apabila peribadi unggul seperti ini dapat
dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi aman dan
selamat.
Solat
mendidik umat Islam menjadi pengurus masa yang baik. Dalam surah
An-Nisak ayat 103, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat adalah satu
ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.” Oleh
kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat
perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar
waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan
dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada seluruh
kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa.
Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.
Solat
juga membentuk disiplin. Di antara perkara yang wajib dilaksanakan
sebelum bersolat ialah mengambil wuduk, dan wuduk tidak dianggap sah
melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulu didahulukan dan
yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib
dipelihara.. Jika seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya
dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan
takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti
ini mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali
gus menjadikannya efisien dalam setiap pekerjaan.
Solat
mendidik umat Islam agar mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika
melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih
dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi
bersabda, “Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih
tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah
dari kalangan yang lebih memahami sunah..” Makmum yang berada di
belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam
terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, untuk membantu imam,
Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah
dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud
dan Tirmizi, nabi bersabda, “Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh
bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian
mereka yang seumpamanya..”
Tekanan
jiwa atau stres sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang
mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan
zikir jika dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati. Dalam surah
Taha ayat 14 Allah berfirman, “Dan tegakkanlah solat untuk berzikir
kepadaku.” Oleh kerana solat benar-benar mendamaikan hati nabi pernah
berkata, “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan
solat.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Justeru di sisi nabi,
solat diumpamakan seperti kekasih hati. Dalam sebuah riwayat oleh Imam
An-Nasai, nabi bersabda, “Dan dijadikan cahaya mataku pada solat.”
Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin
http://danialzainalabidin.com
Dr. Danial Zainal Abidin
http://danialzainalabidin.com
No comments:
Post a Comment