Wednesday 8 February 2012

Jawatankuasa Khas Ditubuh Selaras Kurikulum j-QAF Dan KAFA

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyelaras kurikulum pengajian Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) bagi mengelak pertindihan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut mengumumkan bahawa calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kini diterima mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berikutan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengiktiraf peperiksaan itu setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Jawatankuasa yang dibentuk diberi tanggungjawab untuk meneliti antara lain (soal) mengelak pertindihan termasuk berkaitan kurikulum pembelajaran pengajian Islam yang sedang dilaksanakan sekarang dan apa yang terkandung di bawah KAFA.

"Ini termasuk soal tenaga pengajar dan kelayakan guru yang mengajar, soal pensijilan dan akreditasi, selain meneliti soal infrastruktur, kelengkapan pembelajaran dan pengajaran pendidikan Islam sama ada di sekolah kebangsaan atau di KAFA sendiri.

"Di samping itu, (jawatankuasa akan mencari kaedah) bagaimana kita dapat membantu dalam soal meningkatkan mutu pembelajaran pendidikan Islam di sekolah-sekolah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai hala tuju pengajian aliran agama di sini Selasa.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Muhyiddin berkata mesyuarat hari ini tidak membincangkan soal untuk menyelaras pengajian agama di sekolah yang di bawah tanggungjawab kerajaan negeri termasuk sekolah-sekolah agama yang didirikan secara persendirian.

Beliau berkata mesyuarat turut memutuskan agar program j-QAF terus dimantapkan dan bukan setakat di peringkat sekolah rendah tetapi ia harus dipanjangkan ke peringkat sekolah menengah iaitu sehingga ke tingkatan lima.

Katanya jawatankuasa yang akan ditubuhkan itu juga akan mengkaji dan meneliti keperluan untuk menyediakan pembelajaran agama Islam sepanjang hayat.

"Perkara ini akan diteliti bagi memberi peluang kepada masyarakat Islam dewasa yang tidak berkesempatan mengikuti pengajian Islam secara formal untuk mempelajari Islam secara mendalam," katanya.

Muhyiddin juga berkata mesyuarat mendengar taklimat daripada Pengerusi Lembaga Pendidikan Islam (LEPAI) Tan Sri Yusof Noor yang akan berperanan lebih utama pada masa akan datang bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran Islam lebih mantap.

Khaled ketika ditemui pemberita berkata keputusan yang dibuat oleh JPA baru-baru ini memberi pengiktirafan kepada calon yang mempunyai kelayakan STAM untuk diterima masuk ke IPTA.

Katanya keputusan itu membabitkan kemasukan yang akan datang dan secara menyeluruh berbanding sebelum ini yang hanya diterima oleh sebahagian universiti.

"Dulu ada masalah universiti tertentu saja yang terima (tetapi) mulai sekarang semua universiti yang ada kursus pengajian Islam atau gandingan, akan terima.

"Sekarang memang ada sebahagian universiti yang dah terima, yang jadi masalah sebelum ini ialah universiti dan JPA," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment